Program Keagamaan Semarak Sambutan Ramadan di Sarikei
SARIKEI: Penganjuran pelbagai program keagamaan hasil kerjasama empat agensi berjaya menyemarakkan lagi sambutan Ramadan di daerah ini sekali gus menggalakkan masyarakat Islam lebih mendekati serta menghayati ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.
Agensi yang terlibat ialah Pustaka Negeri Sarawak Cawangan Sibu dengan kerjasama Masjid Al-Muttaqin, Pejabat Agama Islam Bahagian Sarikei serta Pejabat Residen Bahagian Sarikei.
Penganjuran program tersebut bertujuan memupuk kecintaan terhadap al-Quran serta menggalakkan masyarakat Islam menghayati mesej yang terkandung di dalamnya dalam kehidupan seharian.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk pertandingan Seni Khat al-Quran, pertandingan azan, bengkel pengurusan jenazah, tazkirah Ramadan serta pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak.
Semua program berkenaan dilaksanakan berteraskan tema “Ummah Ikhlas: Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia” yang menekankan pembentukan sahsiah serta nilai murni dalam kalangan masyarakat.
Majlis itu turut diserikan dengan acara berbuka puasa yang dihadiri wakil daripada 28 agensi kerajaan di Bahagian Sarikei selain masyarakat Islam sekitar daerah ini.
Penganjuran acara berkenaan bukan sahaja menyemarakkan sambutan Ramadan, malah menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim serta memperkukuh kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.-EDISI UKAS