SMA Salur RM10,000 Kepada PERYATIM, 37 Anak Yatim Diraikan Bersama Premier Sarawak
KUCHING: Seramai 37 anak yatim daripada Kompleks Kebajikan Laila Taib Kuching (PERYATIM) diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Sarawak Multimedia Authority (SMA) yang turut menyaksikan penyampaian sumbangan RM10,000 kepada institusi kebajikan tersebut disaksikan Premier Sarawak pada Khamis.
Dalam majlis tersebut, SMA menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada PERYATIM bagi membantu menampung kos operasi institusi kebajikan berkenaan.
Selain itu, anak-anak PERYATIM yang hadir turut menerima sumbangan duit raya sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada mereka sempena Ramadan serta sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengurus Besar SMA, Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng dan disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Selepas sesi penyerahan sumbangan, Datuk Patinggi Abang Zohari bersama warga SMA turut menghayati bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang diperdengarkan oleh Bilal Ustaz Muhamad Addaha Zaidi sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Usai berbuka puasa, beliau bersama kakitangan SMA menunaikan solat fardu Maghrib diikuti solat Isyak serta solat sunat Tarawih secara berjemaah sebelum majlis diakhiri dengan jamuan moreh.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Ketua Pegawai Eksekutif PERYATIM Siti Hatizah Abang Sebit.-EDISI UKAS