Program Sungkai Ramadan Erat Silaturahim Komuniti Anak Jati Lawas
KUCHING: Majlis Sungkai Ramadan anjuran Persatuan Anak Jati Lawas di Kuching berlangsung dalam suasana penuh kebersamaan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang menyampaikan sumbangan kepada 55 penerima daripada komuniti setempat di Parimpan Cafe, di sini, pada Khamis.
Penerima sumbangan tersebut terdiri daripada komuniti Anak Jati Lawas, asnaf, ibu tunggal, anak yatim serta warga emas selain pelajar dari Madrasah Darul Uloom Al-Fatah.
Majlis tersebut turut diisi dengan tazkirah Ramadan serta bacaan doa sebelum para hadirin bersama-sama menunaikan solat Maghrib dan berbuka puasa.
Program berkenaan bukan sahaja bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan, malah menjadi platform untuk memperkukuh silaturahim dalam kalangan komuniti Anak Jati Lawas di Kuching sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Penganjuran majlis tersebut turut mencerminkan komitmen persatuan dalam memupuk semangat kebersamaan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti perantau Lawas yang menetap di Kuching.- EDISI UKAS