Jalan Raya Pemangkin Pembangunan, Tingkat Nilai Tanah Penduduk
LINGGA: Projek pembinaan jalan raya bukan sekadar memperluaskan rangkaian perhubungan, malah berpotensi meningkatkan nilai tanah serta membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, kemudahan jalan raya berperanan sebagai pemangkin pembangunan kerana ia memudahkan akses serta merancakkan aktiviti ekonomi dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Menurut beliau, penduduk perlu memanfaatkan kemudahan tersebut dengan membangunkan tanah milik mereka melalui pelbagai aktiviti yang mampu meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
“Bagi saya, jalan raya adalah fasilitator kerana ia bukan sahaja memperluaskan jaringan perhubungan, malah memudahkan proses pembangunan dan membuka peluang ekonomi kepada penduduk.
“Atas sebab itu, saya berharap penduduk tidak melepaskan peluang untuk memajukan tanah masing-masing melalui aktiviti yang boleh memberi pulangan dan meningkatkan kesejahteraan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan dan Perlanjutan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi kawasan Bukit Balau, DUN Bukit Begunan di Rumah Suka Minggu, Jungkong Pandak B di sini pada Khamis.
Dalam majlis tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Bukit Begunan bagi tahun 2027 berjumlah RM200,000 untuk kerja-kerja penyediaan tapak rumah baharu di Jungkong Pandak B.
Beliau turut menyalurkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM7,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jungkong Pandak B serta tambahan RM3,000 kepada biro wanita organisasi tersebut.
Turut hadir Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani, kakitangan Pejabat Daerah Lingga, wakil Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sri Aman, wakil Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sekitar kawasan Bukit Balau dan Lingga.
Dalam majlis tersebut, seramai 10 Tuai Rumah dan seorang Kapitan dari kawasan Lingga termasuk Bukit Balau menerima lanjutan tempoh perkhidmatan, manakala seorang lagi individu dilantik sebagai Tuai Rumah baharu.-EDISI UKAS