Cap Goh Mei & Berbuka Puasa Satukan Masyarakat Simunjan
SIMUNJAN: Keunikan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak terus terserlah apabila penduduk pelbagai latar belakang berhimpun meraikan majlis gabungan sambutan Cap Goh Mei dan majlis berbuka puasa yang berlangsung di Dewan Tua Pek Kong Pasar Simunjan, pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, penganjuran majlis tersebut mencerminkan semangat toleransi, persefahaman serta kerjasama erat yang sekian lama menjadi tunjang perpaduan masyarakat di negeri ini.
Menurut beliau, situasi di mana dua sambutan perayaan berbeza latar belakang agama dan budaya dapat diraikan bersama dalam satu majlis merupakan sesuatu yang istimewa serta melambangkan identiti sebenar rakyat Sarawak yang hidup dalam suasana harmoni.
“Inilah Sarawak, di mana masyarakat Cina, Melayu, Iban dan kaum-kaum lain dapat hidup bersama dalam suasana saling menghormati serta bertolak ansur.
“Saya berharap semangat persaudaraan antara kaum ini akan terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasar Simunjan yang diketuai Kapitan Liew Jau Kheng atas usaha menjayakan majlis berkenaan dengan kerjasama Pejabat Daerah Simunjan serta beberapa agensi tempatan lain.
Penganjuran majlis itu bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan kepelbagaian budaya masyarakat, malah turut memperkukuhkan lagi hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, wakil Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Mokhtar Ramli serta Pemanca Liew Wee Tchiun.
Hadir sama Kapitan Liew Jau Kheng selaku Pengerusi JKKK Pasar Simunjan, Kapitan Lai Pian Sin selaku Pengerusi JKKK Kampung Gunung Ngeli serta Kapitan Tan Chiew Sia yang merupakan Pengerusi JKKK Terasi Cina.—EDISI UKAS