42 Asnaf Terima Sumbangan Menerusi Program Santunan Ramadan Di Lingga
LINGGA: Seramai 42 golongan asnaf dari tujuh kampung Melayu sekitar Lingga menerima sumbangan menerusi Program Santunan Ramadan di Masjid Al-Hana di sini pada Khamis.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli yang turut menyampaikan bantuan kepada para penerima.
Sumbangan yang disalurkan merangkumi barangan keperluan ibadah seperti sejadah dan kain pelikat selain bantuan wang tunai sebanyak RM100 kepada setiap penerima.
Menurut beliau, program tersebut merupakan kesinambungan kepada inisiatif kebajikan yang sebelum ini dikenali sebagai Program Ihya Ramadan dan kini diteruskan sebagai Program Santunan Ramadan.
Katanya, program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar dengan kerjasama Pejabat Daerah Lingga
berkenaan akan terus dijadikan sebagai acara tahunan bagi membantu golongan memerlukan khususnya dalam membuat persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
Selain penyampaian sumbangan, beliau turut meluangkan masa berbuka puasa bersama masyarakat setempat di Masjid Al-Hana Lingga.-EDISI UKAS