Golongan Asnaf di Pantai Damai Terima Sumbangan Bubur Lambuk dan Beras
KUCHING: Golongan asnaf dan mereka yang memerlukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai menerima sumbangan sebanyak 400 bubur lambuk dan 400 kampit beras menerusi Program Sumbangan Bubur Lambuk dan Beras yang berlangsung di Masjid Darul Hasanah, Kampung Selang Ulu pada Khamis.
Program tersebut dianjurkan oleh PU Engineering Sdn Bhd dengan kerjasama penghulu, ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk setempat bagi menyantuni komuniti yang memerlukan di kawasan berkenaan.
Sumbangan berkenaan diagihkan kepada penerima dari beberapa kampung sekitar DUN Pantai Damai iaitu Kampung Selang Laut, Kampung Selang Ulu, Kampung Telaga Air, Kampung Temenggong dan Kampung Temedak.
Inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, malah turut memperkukuh semangat kebersamaan serta keprihatinan dalam kalangan masyarakat setempat.
Pada masa sama, program seumpama itu turut mencerminkan semangat gotong-royong serta kerjasama erat antara pihak penganjur, pemimpin masyarakat dan penduduk kampung dalam menjayakan aktiviti kebajikan demi kesejahteraan komuniti.-EDISI UKAS