Tiga Lagi Projek Pemuliharaan Sungai Dilaksana Di Meradong
SARIKEI: Tiga lagi projek pemuliharaan sungai dan anak sungai akan dilaksanakan di Daerah Meradong bagi menambah baik sistem saliran serta mengurangkan risiko banjir dan hakisan di kawasan terlibat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pelaksanaan projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan sistem saliran di kawasan luar bandar sentiasa berada dalam keadaan baik.
Menurutnya, kerja pemuliharaan sungai amat penting bagi memastikan aliran air sentiasa lancar disamping mengurangkan risiko hakisan tebing sungai yang boleh menjejaskan keselamatan kawasan sekitar.
“Saya sentiasa komited untuk memperkukuh kemudahan asas di kawasan luar bandar, khususnya yang berkaitan dengan pengurusan air dan sistem saliran di Parlimen Sarikei,”katanya ketika dihubungi semasa majlis penyerahan tapak projek tersebut yang disampaikan oleh wakil beliau kepada pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Wong Soon Mee di sini pada Khamis.
Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok memberitahu, beberapa lokasi telah dikenal pasti bagi pelaksanaan kerja pemuliharaan sungai dan anak sungai di sekitar Daerah Meradong yang akan dilaksanakan di bawah seliaan DID Sarikei.
Jelasnya, antara kawasan terlibat ialah Sungai Binatang di Jalan Chai Hing yang melibatkan satu anak sungai, Sungai Padi di Jalan Sing Tung Kwong yang turut melibatkan satu anak sungai serta Sungai Bakong di Jalan Sing Hua.
Sehubungan itu, beliau menyatakan harapannya agar projek itu dapat memperkukuh sistem saliran di kawasan berkenaan selain membantu memastikan persekitaran sungai lebih terurus dan selamat kepada masyarakat setempat.-EDISI UKAS