Program Santunan Ramadan Batang Lupar Ringankan Beban Golongan Memerlukan
BATANG LUPAR: Keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat terus dizahirkan menerusi penganjuran Program Santunan Ramadan Batang Lupar 2026 yang menyantuni golongan kurang berkemampuan di sekitar kawasan Parlimen Batang Lupar sepanjang bulan Ramadan.
Program tersebut melibatkan penyampaian sumbangan kepada 78 penerima daripada 12 kampung yang disalurkan melalui ketua-ketua kampung bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara lebih teratur serta sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli berkata, program santunan tersebut berlangsung selama empat hari dengan beliau sendiri turun padang mengunjungi beberapa masjid dan surau di kawasan berkenaan bagi menyampaikan bantuan kepada para jemaah.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan, malah turut mengimarahkan aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan.
“Sepanjang program ini, saya berkesempatan hadir ke beberapa masjid dan surau bagi menyampaikan bantuan kepada jemaah yang memerlukan.
“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat,” katanya pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan khas turut disalurkan kepada semua masjid dan surau di kawasan Parlimen Batang Lupar termasuk di Sri Aman bagi menyokong penganjuran pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan.
Peruntukan tersebut melibatkan RM3,000 bagi setiap masjid dan RM1,500 bagi setiap surau bagi membantu menjayakan program serta aktiviti yang dianjurkan oleh pihak pengurusan masjid dan surau.-EDISI UKAS