Jentera Baharu Perkasa Keupayaan Balai Bomba Dan Penyelamat Daro
DARO: Peranan Balai Bomba dan Penyelamat Daro terus diperkasakan melalui penambahan jentera baharu bagi melancarkan kerja-kerja penyelamatan serta pelbagai tugasan kecemasan di daerah tersebut.
Jentera tersebut merupakan antara aset penting yang bakal meningkatkan keupayaan operasi pasukan bomba dalam melaksanakan tugas penyelamatan serta menangani pelbagai insiden kecemasan seperti kebakaran, kemalangan dan bencana lain di kawasan Daro serta kawasan sekitarnya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, penambahan aset baharu kepada balai berkenaan amat signifikan dalam memastikan tahap kesiapsiagaan pasukan bomba sentiasa berada pada tahap terbaik, khususnya dalam memberikan respons pantas terhadap sebarang kecemasan yang berlaku.
“Anggota bomba merupakan barisan hadapan yang memainkan peranan amat penting dalam memastikan keselamatan masyarakat.
“Oleh itu, penyediaan kelengkapan dan aset yang mencukupi amat diperlukan bagi memudahkan mereka menjalankan tugas dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyantuni Majlis Iftar Ramadan bersama warga Balai Bomba dan Penyelamat Daro di sini pada Khamis.
Safiee turut menzahirkan penghargaan kepada semua anggota Balai Bomba dan Penyelamat Daro atas dedikasi serta pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin walaupun terpaksa bertugas tanpa mengira masa, termasuk pada bulan Ramadan.
Harapannya agar semangat kebersamaan seperti ini terus dipupuk melalui penganjuran program seumpama ini yang bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama anggota agensi kerajaan, malah memupuk nilai perpaduan serta semangat muafakat dalam kalangan masyarakat.
Kehadiran Safiee jelas mencerminkan penghargaan terhadap komitmen serta pengorbanan anggota bomba yang sentiasa bersiap siaga dalam memastikan keselamatan masyarakat terpelihara.
Selain itu, majlis berkenaan turut menjadi medan memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin masyarakat, penjawat awam serta anggota pasukan keselamatan di daerah ini.
Majlis diisi dengan bacaan tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Al-Fadil Ustaz Abdul Hafiz Taha bagi memohon keberkatan dan kesejahteraan buat semua yang hadir serta agar para anggota keselamatan sentiasa dilindungi ketika menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daro, Hasman Bakar, Pegawai Daerah Daro, Zul Usup, wakil Ketua Polis Daerah (KPD) Matu-Daro, Inspektor Muhammad Azani Adzha Muhd Azami serta wakil Pengurus Ladang CPO Mill Jaya Tiasa, Amdan Amin. - EDISI UKAS