MYSED Mukah Anjur Majlis Berbuka Puasa Bersama Komuniti
MUKAH: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) Bahagian Mukah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin, golongan belia serta masyarakat setempat sempena bulan Ramadan.
Majlis yang berlangsung di Dewan Seri Pekala pada Khamis itu diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.
Hadir sama, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip dan Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias.
Pegawai Penguasa MYSED Bahagian Mukah Rasidah Rasit semasa berucap berkata, penganjuran program seumpama itu menjadi ruang menghimpunkan pemimpin, golongan belia serta masyarakat dalam suasana penuh muhibah sepanjang Ramadan.
Menurutnya, kehadiran Royston turut menyuntik semangat kepada pihak penganjur untuk terus melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Rasidah turut menzahirkan penghargaan kepada tetamu yang hadir kerana bersama-sama memeriahkan majlis tersebut.
Sebelum itu, turut diadakan program pengagihan bubur kacang kepada orang ramai di hadapan Dewan Suarah Mesra Mukah sempena bulan Ramadan.-EDISI UKAS