BINTANGOR: Amalan berkongsi rezeki sempena Ramadan di kawasan Bintangor diteruskan menerusi penganjuran program pengagihan bubur Asyura dan buah kurma yang diadakan di Pejabat Daerah Meradong pada Khamis.
Dalam program tersebut, sebanyak 622 kontena bubur Asyura dan 311 kontena buah kurma telah diagihkan kepada kakitangan agensi dan jabatan kerajaan yang beragama Islam di Daerah Meradong sebagai tanda perkongsian rezeki sempena bulan yang penuh keberkatan ini.
Sumbangan sama turut disampaikan kepada ketua-ketua masyarakat Melayu di kawasan Bintangor sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam membantu menyampaikan maklumat serta memelihara kebajikan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penganjuran program tersebut merupakan antara usaha untuk menyemarakkan penghayatan Ramadan melalui amalan berkongsi rezeki di samping mengeratkan hubungan antara pemimpin, penjawat awam dan masyarakat setempat.
Datuk Ding turut merakamkan penghargaan kepada Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Meradong yang telah bergotong-royong menyediakan serta memasak bubur Asyura bagi menjayakan program tersebut.
Menurutnya, usaha tersebut mencerminkan semangat sukarelawan, perpaduan dan keprihatinan masyarakat dalam berkongsi rezeki.
Beliau berharap program seumpama it dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja memeriahkan suasana Ramadan, malah turut memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat kebersamaan antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat setempat.-EDISI UKAS