MPKS Serah Cek Pampasan Tapak Perpustakaan Desa Tambirat
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) terus komited memperkukuh kemudahan komuniti apabila mengadakan Majlis Penyerahan Cek Pampasan bagi tapak Perpustakaan Desa Tambirat Asajaya pada Khamis.
Cek pampasan tersebut disampaikan oleh Pengerusi MPKS, Abang Ismawi Abang Ali sebagai sebahagian daripada usaha menyelesaikan urusan berkaitan tanah yang diwakafkan bagi pembinaan kemudahan perpustakaan desa di Kampung Tambirat.
Penyerahan pampasan itu mencerminkan komitmen MPKS dalam memastikan proses pembangunan kemudahan awam dilaksanakan secara teratur, telus serta menghargai sumbangan masyarakat setempat yang mewakafkan tanah demi kepentingan bersama.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Ketua Kaum Kampung Tambirat Tengah, Mahmud Keri yang mewakili komuniti setempat dalam usaha memastikan kemudahan perpustakaan desa berkenaan terus dimanfaatkan oleh penduduk sekitar, khususnya dalam memperkasa budaya ilmu dan pembelajaran.
Turut hadir Timbalan Pengerusi MPKS, Daily Joseph serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Komuniti dan Pelancongan MPKS, Prof. Madya Dr. Sopian Bujang.
Melalui inisiatif tersebut, MPKS berharap kemudahan Perpustakaan Desa Tambirat akan terus berfungsi sebagai pusat rujukan ilmu dan aktiviti komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya dalam memperluas akses kepada bahan bacaan, pendidikan serta pembangunan sosial.-EDISI UKAS