Inisiatif Santunan Ramadan Ringankan Beban 42 Asnaf Di Lingga
LINGGA: Keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat terus dizahirkan apabila seramai 42 golongan asnaf dari tujuh kampung Melayu sekitar Lingga menerima sumbangan menerusi Program Santunan Ramadan anjuran Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar dengan kerjasama Pejabat Daerah Lingga.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, program tersebut merupakan siri ketiga penganjurannya yang sebelum ini dikenali sebagai Program Ihya Ramadan.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan akan diteruskan sebagai program tahunan bagi membantu golongan memerlukan khususnya sepanjang bulan Ramadan.
“Program ini merupakan antara usaha berterusan kita untuk membantu golongan asnaf di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat,” katanya pada Khamis.
Melalui program berkenaan, setiap penerima menerima sumbangan barangan keperluan solat berupa sejadah dan kain pelikat selain bantuan tunai sebanyak RM100.
Sumbangan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban golongan asnaf dalam membuat persiapan menyambut Ramadan serta Aidilfitri yang bakal tiba.
Selesai sesi penyerahan sumbangan, beliau turut berkesempatan berbuka puasa bersama masyarakat setempat di Masjid Al Hana Lingga sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.
Program Santunan Ramadan tersebut kemudiannya diteruskan pada sebelah malam di Surau Kampung Hilir Sri Aman.
Turut hadir wakil Pegawai Daerah Lingga, Nurshazani Fadli Salihin, Temenggung Mohamad Shah Achang, Penghulu Wan Amit Wan Kamil serta ketua-ketua kaum kampung di kawasan Lingga.-EDISI UKAS