MPKS Perhebat Pemantauan, Pastikan Laluan Pejalan Kaki Kekal Selamat di Jalan Desa Ilmu
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) terus memperkukuh pemantauan bagi memastikan kemudahan awam berada dalam keadaan selamat dan teratur apabila Bahagian Penguatkuasanya menjalankan pemeriksaan susulan berhubung aduan orang awam berkaitan pembinaan struktur di laluan pejalan kaki di Jalan Desa Ilmu, pada Khamis.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa struktur binaan didirikan oleh penjaja yang menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan, sekali gus menjejaskan fungsi laluan pejalan kaki yang sepatutnya digunakan oleh orang awam.
Sehubungan itu, anggota penguat kuasa MPKS telah mengambil langkah proaktif dengan memasang tali perimeter di kawasan terlibat serta menampal notis arahan kepada pihak terbabit supaya merobohkan struktur binaan berkenaan dan membersihkan kawasan daripada sisa atau bahan binaan dalam tempoh yang ditetapkan.
Tindakan tersebut diambil sebagai langkah memastikan laluan pejalan kaki kekal selamat, teratur serta bebas daripada sebarang halangan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.
MPKS menegaskan bahawa pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kemudahan awam sentiasa terpelihara dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.
Dalam masa yang sama, MPKS turut mengingatkan para peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan serta mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan sebelum mendirikan sebarang struktur atau menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan awam.-EDISI