ADUN Tanjong Datu Umum Tambahan Peruntukan Dewan Sebat Melayu
LUNDU: Projek menaik taraf Dewan Masyarakat Kampung Sebat Melayu bakal menerima tambahan peruntukan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan mengumumkan peningkatan peruntukan projek tersebut daripada RM750,000 kepada RM1 juta.
Menurut beliau, tambahan peruntukan di bawah inisiatif Agensi Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) itu bertujuan memastikan kemudahan dewan berkenaan dapat dinaik taraf dengan lebih selesa dan kondusif untuk kegunaan penduduk setempat.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Penyampaian Sumbangan Asnaf Zon Sematan yang berlangsung di Kampung Sebat Melayu pada Khamis.
Dalam program tersebut, seramai 30 penerima daripada golongan asnaf Zon Sematan menerima sumbangan yang disampaikan oleh beliau sebagai usaha membantu golongan memerlukan khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Program anjuran Pusat Khidmat Tanjong Datu itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan yang dilaksanakan di empat zon utama iaitu Lundu, Pandan, Sampadi dan Sematan bagi mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Azizul turut memaklumkan bahawa beberapa usaha pembangunan serta penyelesaian isu setempat terus dilaksanakan termasuk penambahbaikan sistem pengairan yang sebelum ini membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan Zon Sematan.
Pada majlis sama, beliau turut menjemput seluruh warga Tanjong Datu untuk hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau yang akan diadakan pada 4 April 2026 di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, Lundu.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Abang Abdul Aziz Abang Draup, wakil Pegawai Daerah Lundu Anwar Fakhriyuddin Matamit, Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Sematan Mohd Ameerullah Roslan, Pemanca Jumahdi Sabian serta Ketua Kaum Kampung Sebat Melayu Wahit Jaee.-EDISI UKAS