ADUN Baleh Santuni Masyarakat Agih Bubur Lambuk di Kapit
KAPIT: Program pengagihan bubur lambuk anjuran SABERKAS Cawangan Baleh berlangsung meriah di Lily Pond, Kapit petang Khamis dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai.
Program yang diadakan sekitar jam 4.00 petang itu menyaksikan beliau sendiri turun padang mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai serta pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.
Menurut penganjur, inisiatif tersebut merupakan usaha SABERKAS Cawangan Baleh untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.
Sepanjang program berlangsung, Nicholas Kudi turut menyantuni orang ramai dengan mengedarkan bubur lambuk kepada setiap kenderaan yang melalui laluan di hadapan Lily Pond.
Program berkenaan turut mendapat sokongan ahli Pusat Khidmat Baleh serta anggota SABERKAS Cawangan Kapit yang bergotong-royong menjayakan aktiviti tersebut.
Kehadiran orang ramai yang singgah menerima bubur lambuk menjadikan program itu berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat kebersamaan, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara pemimpin dan komuniti setempat.- EDISI UKAS