Dialog Projek Bekalan Air URDA Perkukuh Kerjasama, Tingkat Akses Air Luar Bandar
KAPIT: Satu sesi dialog mengenai pelaksanaan projek bekalan air di bawah pembangunan wilayah Ulu Rajang telah diadakan di Pejabat URDA Kapit baru-baru ini bagi memberi penerangan serta mendapatkan maklum balas daripada komuniti setempat.
Sesi tersebut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang dan ADUN Baleh, Nicholas Kudi Jantai bersama Pegawai Daerah Bukit Mabong, Jabang Juntan.
Turut hadir Pengarah URDA, Sagu Unting, Ketua Penyampaian Projek, Edward Mathew, pegawai teknikal serta Tuai Rumah dan wakil komuniti dari kawasan terlibat.
Dalam sesi tersebut, pihak Upper Rajang Development Agency (URDA) memberi taklimat mengenai pelaksanaan Package 4: Water Supply Projects yang melibatkan baki kerja pembinaan tujuh projek bekalan air di beberapa kawasan di bawah wilayah URDA, termasuk Bukit Goram, Ngemah, Machan, Pelagus, Baleh, Belaga dan Murum.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan paip saluran air, takungan air, sistem pengambilan air mentah serta rumah pam di beberapa lokasi strategik seperti Ng. Ibau, Tunoh, Ng. Pelagus dan Ng. Gaat di Baleh.
Selain memberikan perkembangan terkini projek, sesi dialog itu turut membuka ruang kepada penduduk setempat untuk menyuarakan pandangan dan cadangan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta memenuhi keperluan komuniti.
Dalam pada itu, Wilson Nyabong dan Nicholas Kudi menekankan kepentingan kerjasama erat antara agensi pelaksana, kontraktor dan masyarakat setempat bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual.
Menurut mereka, pelaksanaan projek bekalan air tersebut dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk luar bandar dengan meningkatkan akses kepada bekalan air bersih sekali gus memperbaiki taraf kehidupan masyarakat di kawasan pedalaman.
Sementara itu, pihak URDA memaklumkan bahawa sesi dialog bersama komuniti setempat akan turut diadakan di Belaga dalam masa terdekat bagi meneruskan usaha libat urus dengan penduduk kawasan terlibat.- EDISI UKAS