Tabung Baitulmal Sarawak Kutip Lebih RM155 Juta Zakat pada 2025
SIBU: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) berjaya mengutip lebih RM155 juta zakat sepanjang tahun 2025, sekali gus memperkukuh usaha membantu golongan memerlukan di seluruh negeri.
Pengurus Besarnya, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie Nailie berkata jumlah agihan bantuan yang disalurkan sebenarnya melebihi kutipan tersebut kerana pihaknya turut menggunakan lebihan dana daripada tahun-tahun sebelumnya.
Menurut beliau, kejayaan itu hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, rakan strategik, pihak media serta komuniti asnaf yang sentiasa menyokong usaha memperkasakan sistem penyampaian bantuan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Perdana sempena Program Kasih Ramadan yang berlangsung di Dewan Kompleks Islam Sarawak pada Khamis.
Pada majlis tersebut, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie turut menyempurnakan penyerahan bantuan kewangan berjumlah RM53,400 kepada 213 penerima.
Menurutnya, secara keseluruhan TBS menyalurkan bantuan sebanyak RM279,095 kepada 1,010 penerima asnaf di Bahagian Sibu sebagai persediaan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
“Ini merupakan manifestasi keprihatinan pihak kami dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya menjelang Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan sebuah bangunan baharu Baitulmal sedang dibangunkan di Sri Aman menggunakan dana milik organisasi berkenaan.
Menurutnya, bangunan tersebut bukan sahaja memberi manfaat dari segi penggunaan dan sewaan, malah akan menempatkan beberapa agensi kerajaan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan pelbagai perkhidmatan di satu lokasi.
Antara agensi yang bakal ditempatkan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, pejabat residen, pejabat daerah serta beberapa jabatan lain yang menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Selain itu, kaunter Perkhidmatan Kerajaan Negeri turut disediakan bagi membolehkan orang ramai menguruskan pelbagai urusan kerajaan dengan lebih mudah.
Pada majlis sama, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie turut merasmikan Projek Infak Baju Raya Al Bait anjuran Yayasan Kepimpinan Al Bait yang bertujuan menyediakan pakaian baharu kepada golongan memerlukan, khususnya asnaf di sekitar bandar Sibu.
Turut hadir Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.- EDISI UKAS