Program Bas Pintar Miri Dedah Pelajar Kepada Sistem Pengangkutan Awam
MIRI: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) telah menganjurkan Program Kesedaran dan Pengalaman Menaiki Bas Pintar Miri untuk pelajar SMK Pujut sebagai usaha memperkenalkan sistem pengangkutan awam bandar serta meningkatkan kesedaran penggunaan bas dalam kalangan generasi muda.
Program yang berlangsung di SMK Pujut itu memberi peluang kepada pelajar merasai sendiri pengalaman menaiki Bas Pintar Miri, sekali gus membantu mereka memahami operasi perkhidmatan bas awam dan cara memanfaatkan sistem tersebut untuk mobiliti harian di bandar raya Miri.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program berkenaan bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kemudahan dan kepraktisan penggunaan pengangkutan awam, di samping menggalakkan golongan muda melihat bas sebagai pilihan mobiliti yang sesuai dan boleh dipercayai.
“Dengan membiasakan pelajar dengan perkhidmatan bas awam dan alat digital seperti Aplikasi Pengangkutan Pintar Sarawak (SSTA), kita berharap dapat memupuk tabiat perjalanan yang positif dan membina keyakinan yang lebih tinggi dalam menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi mesej yang disampaikan oleh pegawai MOTS semasa program tersebut pada Jumaat.
Sepanjang program tersebut, pegawai daripada MOTS mengiringi para pelajar sepanjang perjalanan bas dan memberi taklimat mengenai operasi perkhidmatan Bas Pintar Miri, termasuk cara penumpang merancang perjalanan serta mendapatkan maklumat masa nyata melalui Aplikasi Pengangkutan Pintar Sarawak (SSTA).
Para pelajar turut diperkenalkan kepada ciri-ciri aplikasi berkenaan yang membolehkan pengguna menyemak laluan bas, jadual perjalanan dan kemas kini perkhidmatan, sekali gus memudahkan pengguna merancang perjalanan menggunakan pengangkutan awam.
Program ini juga bertujuan memperkukuh kesedaran mengenai pengangkutan awam dalam kalangan pelajar serta menggalakkan mobiliti yang lebih pintar melalui penggunaan platform pengangkutan digital.
Program Kesedaran dan Pengalaman Menaiki Bas Pintar Miri untuk pelajar di Miri ini akan diteruskan dengan penyertaan sekolah-sekolah lain di Daerah Miri bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai penggunaan perkhidmatan bas awam dalam perjalanan harian.
Ia memandangkan bas pintar ini bukan sahaja menawarkan perkhidmatan tambang sifar di Miri, malah turut membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya itu. -EDISI UKAS