Kembara UKAS 2026: Antara Kemajuan Dan Nostalgia Di Pekan Lama Balingian
Perjalanan menelusuri Jalan Pesisir Pantai memberi kesempatan kepada Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat menyingkap impak sebenar pembangunan kepada masyarakat akar umbi.
Malah tidak pernah terfikir, transformasi sistem perhubungan yang lebih baik dan pesat pada masa ini sebenarnya ada kisah yang tidak ramai sedia untuk faham.
Mungkin dari perspektif positif sudah tentunya disetiap pemahaman rakyat yang inginkan pembangunan, jaringan jalan raya yang lengkap adalah faktor utama pembangunan negara maju.
Jalan Pesisir Sarawak
Baik dari segi ekonomi, taraf hidup dan sebagainya, faktor ini adalah penting bagi membentuk sesebuah kawasan itu lebih moden.
Namun, siapa sangka pembangunan ini mampu mengubah dan 'meragut' kemeriahan pada satu masa dahulu.
Ini yang berlaku di Pekan Balingian.
Pekan Lama Balingian
Pada hari kelima Kembara UKAS 2026, Penghulu Cina Balingian, Chan Kai Huan berkongsi kebenaran yang perlu 'ditelan' terutamanya bagi komuniti peniaga di pekan lama itu.
Beliau yang juga merupakan generasi ketiga meneruskan legasi perniagaan keluarga di pekan yang berusia lebih 100 tahun itu berkata, kini Pekan Balingian tidak segah dan semeriah seperti dahulu.
Ujarnya, jika dahulu pekan itu sering sibuk dengan aktiviti perniagaan, penduduk kampung berhampiran datang menjual pelbagai hasil hutan dan juga perikanan.
"Dulu pekan ini penuh dengan orang ramai terutamanya pada hujung minggu.
"Pelbagai hasil hutan dan perikanan yang dibawa dari kampung-kampung berdekatan.
"Namun kini semuanya sudah berubah. Sebelum petang malah sebelum pukul 11 pagi lagi pekan ini sudah lenggang," ujarnya sambil berkata pekan lama itu ada 17 buah kedai.
Penghulu Chan Kai Huan
Jelasnya, perubahan itu belaku susulan pembangunan jalan pesisir yang lebih baik dan lengkap.
Ujarnya, orang ramai kini lebih memilih untuk berkunjung ke bandar Mukah atau Bintulu yang jaraknya lebih dekat jika dibandingkan sebelum ini.
Tegasnya, beliau bukan menolak pembangunan, tetapi ini adalah realiti yang perlu mereka terima.
Masih berkongsi kisah dan nostalgia lama di pekan itu, Penghulu Chan yang berusia hampir 70 tahun berkata, pada suatu ketika dahulu, pekan itu juga pernah meriah dengan adanya kilang rumbia dan kilang papan.
Pekan Lama Balingian
"Dulu orang ramai sebab ada kilang rumbia dan kilang papan.
"Sekarang semua itu sudah tidak ada lagi. Kilang rumbia kini ada di Mukah.
"Saya juga percaya, tidak lama lagi Jambatan Batang Igan akan dibuka, orang ramai lebih memilih untuk pergi Sarikei atau Sibu," tambahnya.
Namun pada masa yang sama, beliau sebagai Ketua Masyarakat bagi kira-kira 200 orang penduduk komuniti Cina bersyukur dengan adanya wakil rakyat yang sentiasa membantu dan mendengar permasalahan yang dihadapi mereka sebagai komuniti minoriti di kawasan itu.
"Saya tidak ada masalah berjumpa dengan wakil rayat kami, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi bila-bila masa.
"Beliau sentiasa bersedia membantu kami di sini.
"Dari segi pembangunan, pekan ini kini sudah ada 'waterfront' dan juga pembangunan - pembangunan yang lain atas jasa dan komitmen Abdul Yakub," katanya.
Sementara itu, Kembara UKAS 2026 sempat singgah di gerai menjual ikan salai di tepi jalan sebelum meneruskan perjalanan ke Bandar Bintulu.
Menariknya, walaupun hanya ada empat orang perniaga, kawasan tersebut sering menjadi tumpuan orang ramai untuk singgah mendapatkan ikan salai yang masih diproses menggunakan cara tradisional.
Salah seorang peniaga, Dujong Nyalu dari Sebemban, Tatau berkata, beliau telah mengusahakan perniagaan itu sejak belasan tahun dahalu.
“Sekitar tahun 2004 iaitu sejak jalan pesisir ini siap dibina, saya dan beberapa orang penduduk lain mula menjalankan perniagaan ikan salai di sini.
“Sejak dari itu, kami berniaga setiap hari dan sambutan juga memberansangkan bagi mereka yang menggunakan jalan ini,” katanya.
Dujong Nyalu
Ujarnya, beliau dapat menjual kira-kira empat hingga lima kilogram salai pada setiap hari dan jumlah itu akan bertambah pada hujung minggu.
Dalam pada itu, Dujong berkata, tempat mereka berniaga pernah musnah dalam kebakaran sebelum ini.
Katanya wakil rakyat pada masa itu, Allahyarham Dato Talip Zulpilip telah membantu mereka membina semula tempat tersebut yang masih digunakan hingga ke hari ini.
Sementara itu, beliau dan rakan yang lain amat berharap tempat mereka berniaga dapat dinaik taraf agar lebih selesa dan lebih selamat untuk orang ramai singgah.
Jelasnya, pada masa ini, tempat tersebut tidak mempunyai air paip yang penting untuk memproses ikan sebelum disalai.
“Kalau boleh, kita mohon agar tempat ini disambung dengan air paip.
“Kami terpaksa bangun awal pagi untuk memproses ikan di rumah kerana di sini tidak ada air paip.
“Kadang-kadang kami mula berniaga agak lewat,” jelasnya.
Selain itu, beliau juga berharap tempat tersebut dapat dinaiktaraf kepada konkrit agar lebih bersih dan selamat.
Sebelum tiba di Bandar Bintulu, perjalanan Kembara UKAS 2026 ‘disambut’ dengan keindahan dan keunikan Jambatan Bintulu-Jepak yang menjadi kemegahan bandar minyak itu.
Jambatan Bintulu – Jepak
Jambatan yang telah dirasmikan pada tahun 2025 itu dinamakan sebagai Jambatan Tun Abdul Taib Mahmud bagi mengenang jasa kepimpinan ketua menteri tersebut sebelum ini untuk Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa menyempurnakan majlis perasmian menyifatkan jambatan tersebut sebagai simbol perpaduan yang menghubungkan kawasan kampung dan rumah panjang yang terletak di tepi sungai.
Jambatan 1,283.04 meter itu dibina dengan kos sebanyak RM466.7 juta merentasi Sungai Kemena. -DEMI RAKYAT