15 Projek Tebatan Banjir Bernilai RM3.39 Bilion Perkukuh Mitigasi Banjir di Sarawak
PUTRAJAYA: Sebanyak 15 projek tebatan banjir sedang dan akan dilaksanakan di Sarawak dengan jumlah kos keseluruhan RM3.39 bilion bagi memperkukuh langkah mitigasi banjir secara menyeluruh dan berfasa di negeri ini.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan media pada Jumaat memaklumkan projek tersebut dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) serta Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13, RP1).
“Daripada jumlah tersebut, lima projek berada pada peringkat pra-pelaksanaan, tiga projek sedang dalam pelaksanaan manakala tujuh projek telah siap sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut lagi, di bawah RMK-12 sebanyak 453 kerja pemuliharaan sungai telah disiapkan dengan kos RM50.9 juta yang melibatkan usaha meningkatkan kapasiti aliran sungai serta menstabilkan tebing bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan terlibat.
Selain itu, PETRA memaklumkan sebanyak 548 projek kecemasan luar jangka turut dilaksanakan dengan kos RM45.3 juta bagi menangani kerosakan infrastruktur sungai serta mengurangkan risiko banjir secara segera di kawasan yang terjejas.
Bagi memperkukuh lagi usaha mitigasi banjir, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sebanyak RM50 juta di bawah RMK-13 untuk melaksanakan kerja-kerja kecil pemuliharaan sungai di Sarawak termasuk pengaluran sungai, pembaikan tebing runtuh serta menaik taraf aset berkaitan bagi memastikan sistem saliran dan sungai berfungsi dengan lebih cekap.
PETRA menegaskan komitmennya bersama Kerajaan Sarawak untuk terus mempertingkatkan keupayaan pengurusan banjir melalui pelaksanaan projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai serta kerjasama berterusan dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.-EDISI UKAS