Lebih 90 Peratus Penerima SKAS 2026 Guna S Pay Global
SELANGAU: Lebih 90 peratus penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 telah mendaftar sebagai pengguna aplikasi S Pay Global, sekali gus menunjukkan penerimaan tinggi masyarakat terhadap inisiatif pendigitalan yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berkata, penyaluran bantuan melalui ekosistem digital itu bukan sahaja memastikan proses agihan lebih telus dan cekap, malah menyokong usaha membangunkan masyarakat tanpa tunai di negeri ini.
Beliau berkata, bantuan SKAS disalurkan secara khusus melalui aplikasi berkenaan bagi memastikan peruntukan yang diberikan digunakan sepenuhnya untuk pembelian barangan keperluan asas makanan di premis yang berdaftar.
"Sehingga kini, lebih 2,200 pasar raya dan peruncit di seluruh Sarawak telah mendaftar sebagai merchants SKAS sejak ia diperkenalkan tahun lalu.
"Ini memberi lebih banyak pilihan kepada penerima untuk mendapatkan barangan keperluan di premis yang diiktiraf, sekali gus menyokong perkembangan perniagaan tempatan melalui ekosistem digital ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran SKAS 2026 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin di Pejabat Daerah Selangau pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Christopher berkata, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM539.8 juta bagi pelaksanaan SKAS pada tahun ini yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 800,000 penerima di seluruh negeri.
Jelasnya, bantuan tersebut diagihkan dalam tiga fasa iaitu Fasa Pertama bermula 10 Mac lalu melibatkan peruntukan RM179.6 juta, diikuti Fasa Kedua pada Mei depan sebanyak RM179.6 juta dan Fasa Ketiga pada November dengan peruntukan RM180.6 juta.
"Inisiatif ini merupakan bukti komitmen berterusan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam menjaga kebajikan rakyat serta menangani peningkatan kos sara hidup," tambahnya.
Dalam majlis yang sama, bubur lambuk turut diagihkan kepada agensi kerajaan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), penduduk Kampung Iban Islam Sekuau, serta Urus Setia Saudara Kita sebagai simbol perpaduan sempena bulan Ramadan melibatkan.-EDISI UKAS