Peningkatan Peruntukan SKAS Legakan Penduduk Luar Bandar
TANJUNG MANIS: Peningkatan jumlah peruntukan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya penduduk di kawasan luar bandar yang turut menerima manfaat daripada inisiatif kebajikan kerajaan negeri itu.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh berkata, bantuan tersebut mencerminkan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Menurut beliau, pelaksanaan SKAS merupakan satu inisiatif yang berteraskan nilai kasih sayang serta komitmen kerajaan Sarawak dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Bantuan ini diwujudkan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penyaluran bantuan kewangan secara bersasar kepada golongan yang lebih layak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran SKAS 2026 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang di Bilik Mesyuarat Pejabat Majlis Daerah Matu dan Daro Cawangan Belawai, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Len Talif memaklumkan, penyaluran SKAS tahun ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM640 juta, meningkat berbanding RM480.2 juta yang disediakan pada tahun lalu.
Katanya, peningkatan tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri yang diterajui oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan penggunaan aplikasi SPay Global dalam pelaksanaan SKAS memudahkan penerima bantuan melakukan transaksi tanpa tunai dengan lebih selamat dan cekap.
Tambahnya, penggunaan platform digital tersebut bukan sahaja mempermudah urusan penerima bantuan, malah berupaya merangsang aktiviti ekonomi setempat serta memastikan bantua dapat disalurkan secara lebih tepat, bersasar dan berkesan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.-EDISI UKAS