PM, Premier Sarawak 'Curi' Tumpuan Di Bazar Ramadan Sukma Ria
KUCHING: Kunjungan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ke Bazar Ramadan Sukma Ria di sini pada Jumaat menceriakan para peniaga dan pengunjung yang tidak menyangka pemimpin tertinggi negara dan negeri itu hadir meninjau bazar berkenaan.
Kedua-dua pemimpin itu tiba di bazar tersebut kira-kira jam 5.30 petang selepas menghadiri Mesyuarat Pembangunan Negeri di Kompleks Satria Pertiwi.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmi Othman.
Ketibaan mereka menarik perhatian pengunjung yang memenuhi kawasan bazar bagi mendapatkan juadah berbuka puasa, dengan ramai mengambil peluang bersalaman dan merakam gambar kenangan bersama kedua-dua pemimpin tersebut.
Para peniaga pula dilihat teruja apabila Perdana Menteri dan Premier Sarawak singgah di beberapa gerai sambil meninjau pelbagai juadah yang dijual, termasuk kuih-muih tradisional, minuman segar serta pelbagai hidangan popular Ramadan.
Suasana bazar yang sememangnya meriah dengan pelbagai aroma makanan bertukar lebih gamat apabila orang ramai tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan kedua-dua pemimpin berkenaan.
Perdana Menteri dan Premier Sarawak meluangkan kira-kira setengah jam meninjau bazar tersebut sambil menyantuni peniaga serta pengunjung, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus mendekati rakyat serta menyokong aktiviti usahawan mikro sepanjang bulan Ramadan.
Sejurus selesai tinjauan, Perdana Menteri bersama Premier Sarawak dan rombongan kemudian bergerak ke Masjid Jamek Negeri Sarawak bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 Peringkat Sarawak.
Beliau dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam ini selepas mengakhiri lawatan kerja sehari di sini.-EDISI UKAS