Majlis Berbuka Puasa MUT Eratkan Silaturahim Warga Agensi
KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama jabatan serta agensi di bawah kementerian berkenaan dalam usaha memperkukuh hubungan silaturahim sempena bulan Ramadan.
Majlis yang berlangsung di Hilton Hotel di sini pada Jumaat dihadiri Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi serta kira-kira 200 tetamu terdiri daripada wakil pelbagai jabatan dan agensi berkaitan.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Datuk Ibrahim Baki, Setiausaha Tetap MUT Datu Jafri Lias, serta Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dato Dr Anderson Tiong.
Majlis dimulakan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Ihsan Haidzir sebelum para hadirin menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Para tetamu kemudiannya menikmati juadah berbuka puasa sebelum meneruskan pengisian program dengan solat Isyak dan solat sunat Terawih secara berjemaah.
Penganjuran majlis tersebut bukan sahaja menyemarakkan penghayatan Ramadan, malah menjadi medium untuk mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kementerian dan agensi berkaitan.-EDISI UKAS