Kerjasama Baik Kerajaan Persekutuan-Negeri Selesaikan Beberapa Isu Utama Di Sarawak
KUCHING: Beberapa isu utama di Sarawak berjaya diselesaikan hasil perbincangan konstruktif antara Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, Mesyuarat Pembangunan Negeri yang berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi hari in di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membolehkan isu-isu yang dibangkitkan diselesaikan dengan segera dan berkesan.
"Tadi, kita pun ada sedikit mesyuarat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
"Adalah kita rondeng-rondeng sikit dan Alhamdulillah, dengan perpaduan dan setiakawan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, nampaknya masalah selesai, beres," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Madani 2026 Peringkat Sarawak yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya pada Jumaat.
Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, kestabilan politik dan ekonomi negara terus membawa limpahan manfaat kepada Sarawak apabila kemasukan pelaburan ke negeri ini semakin meningkat, sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur terhadap potensi pembangunan negeri.
Ujarnya, suasana negara yang aman serta ekonomi yang berada pada landasan baik turut menarik lebih ramai wakil luar termasuk duta-duta asing untuk datang ke Sarawak bagi meneroka peluang pelaburan.
“Alhamdulillah, negara kita aman, ekonomi kita baik, duit kita melonjak dan juga pelaburan datang. Kita di Sarawak pun ‘ampit’ (terkena tempias) juga sebab itulah banyak duta-duta datang ke Sarawak ini nak cari pelaburan yang membantu kita.
“Dan akhirnya yang mendapat manfaat ialah seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan berbilang kepercayaan. Inilah semangat Segulai-Sejalai Malaysia yang ada pada negara kita,” jelasnya.
Premier Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas bantuan yang disalurkan kepada rakyat dalam berdepan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Tegasnya, Kerajaan Sarawak juga mengambil langkah sama dengan menyalurkan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) berjumlah RM650 juta bagi membantu golongan B40, sekali gus meringankan beban rakyat khususnya susulan kesan kenaikan harga minyak ketika ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Speaker Dewan Negara Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, barisan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan serta dif kenamaan lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus