Kerajaan Persekutuan Lulus RM150 Juta Baiki Baraj Sungai Sarawak
KUCHING: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi membaiki baraj Sungai Sarawak yang terjejas akibat hakisan.
Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim semasa mengumumkan perkara tersebut berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof telah memohon peruntukan tersebut kepada beliau semasa Mesyuarat Kabinet Kerajaan sebelum ini.
Jelasnya, permohonan peruntukan itu diluluskannya semasa Mesyuarat Pembangunan Negeri yang diadakan di Kompleks Satria Pertiwi yang turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Jumaat.
"Jadi kita sudah setuju setelah mendengar, sekitar RM150 juta diperuntukkan untuk segera baiki baraj tersebut," katanya semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani 2026 Peringkat Sarawak di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya hari ini.
Sementara itu, Datuk Amar Fadillah Yusof ketika ditemui pemberita memberitahu, peruntukan sebanyak RM150 juta itu bagi menangani isu hakisan di baraj khususnya di kawasan huluan dan hiliran.
Ujarnya, perkara ini dibincangkan dalam konteks rancangan terbatas banjir, dan kajian negeri mengenai integriti baraj menjadi salah satu perkara penting yang diminta sebelum kelulusan dapat diberikan.
"Cuma kajian daripada pihak negeri perlu diberi secepat mungkin untuk kita angkatkan kepada Kementerian Ekonomi dan juga kepada Kabinet," jelas beliau.
Hadir sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Speaker Dewan Negara Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Barisan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki barisan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus