Projek Tertangguh Di Sarawak Diselesaikan Selepas Aidilfitri - PM
KUCHING: Perdana Menteri Dato Seri Anwar memberi jaminan untuk menyelesaikan projek yang tertangguh di Sarawak selepas Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, beberapa projek yang dibincangkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg terutamanya projek bekalan air dan elektrik yang ‘tersangkut’ di peringkat Jabatan Persekutuan memerlukan perhatian segera.
"Saya akan bagi jaminan, Insya-Allah, beberapa minggu selepas Aidilfitri, kita akan buat keputusan supaya berikan ruang pelaksanaan lebih berkesan dengan kerjasama Kerajaan Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Madani 2026 Peringkat Sarawak di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya pada Jumaat.
Turut hadir Premier Sarawak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof dan Speaker Dewan Negara Dato Awang Bemee Awang Ali Basah.
Tambahnya, beliau akan memaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Patinggi Ahmad Zahid Hamidi bagi memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaannya.
Beliau menegaskan, sebarang jalan penyelesaian memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Barisan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki barisan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus