Sukarelawan pacu kejayaan inisiatif kerajaan di peringkat komuniti
LIMBANG: Peranan sukarelawan terus diiktiraf sebagai pemangkin utama dalam memastikan pelaksanaan inisiatif kerajaan di peringkat komuniti berjalan lancar serta berkesan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah menegaskan bahawa penglibatan aktif sukarelawan bukan sahaja membantu menjayakan dasar kerajaan, malah menyemai semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat.
“Peranan volunteers atau sukarelawan ini adalah untuk menggerakkan dasar kerajaan di peringkat komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin dan Belia di sini, Isnin.
Menurut beliau, pertubuhan sukarelawan turut memainkan peranan penting dalam melaksanakan pelbagai aktiviti amal serta inisiatif sosial yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Terdahulu, sebanyak 500 pek bubur kacang diagihkan kepada pengguna jalan raya di Jalan Muhibbah sempena Ramadan.
Program tersebut bukan sahaja menyemarakkan tradisi berbuka puasa, malah menjadi platform memperkukuh ukhuwah serta menyantuni masyarakat setempat sepanjang bulan mulia ini.
Sementara itu, Pengerusi Sarawak Volunteers Bahagian Limbang, Mohd Muizzuddin Shafie berkata kejayaan penganjuran program berkenaan adalah hasil sokongan padu pelbagai rakan strategik.
Beliau memaklumkan kerjasama daripada PETRONAS Malaysia, Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Limbang dan PERKESO Limbang telah menyumbang bakul makanan serta biskut raya kepada penerima.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan yang komited dalam menjayakan program tersebut, bermula daripada penyediaan sumbangan sehingga pelaksanaan majlis berbuka puasa.
Menurutnya lagi, Sarawak Volunteers Bahagian Limbang telah melaksanakan lima aktiviti utama setakat ini dan merancang untuk melancarkan program ‘Mansang Limbang’ yang memberi fokus kepada penglibatan graduan serta belia dalam aktiviti berimpak tinggi.
Hadir sama Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Pengurus Besar Kanan Perhubungan Pihak Berkepentingan PETRONAS, Khairuddin Mohd Jaafar, Pengurus Kanan PETRONAS Carigali Sdn Bhd Aset Sarawak, Hazli Kipli, Ketua Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan Limbang, Abang Aien Abang Bolhil, Ketua Bahagian Tabung Baitulmal Sarawak Bahagian Limbang, Nadiah Abas serta Pengurus Pejabat PERKESO Limbang, Siti Saharah Tair.-EDISI UKAS