LIMBANG: Usaha menyantuni golongan kurang bernasib baik terus diperkasa di daerah ini bagi memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana lebih bermakna dan penuh kesyukuran.
Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, penyaluran sumbangan dalam bentuk bakul makanan bertujuan meringankan beban persiapan perayaan serta membantu memenuhi keperluan asas penerima.
“Rezeki kita dalam hidup ini tidak sama, itulah realiti kehidupan. Membesarkan anak-anak dan memastikan mereka mendapat pendidikan adalah satu perjuangan besar, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Asnaf Daerah Limbang, pada Isnin.
Beliau turut menegaskan kepentingan keprihatinan berterusan terhadap golongan memerlukan serta mengingatkan orang ramai agar berbelanja secara berhemah dan membuat persiapan Aidilfitri secara sederhana.
Program tersebut menyaksikan seramai 110 penerima asnaf menerima sumbangan hasil kerjasama PETRONAS dan Tabung Baitulmal Sarawak, manakala enam lagi merupakan penerima faedah PERKESO Daerah Limbang.
Inisiatif itu turut dijayakan dengan kerjasama Sarawak Volunteers Bahagian Limbang sebagai rakan strategik dalam membantu komuniti setempat.
Turut hadir Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Pengerusi Sarawak Volunteers Bahagian Limbang, Mohd Muizzuddin Shafie, Pengurus Besar Kanan Perhubungan Pihak Berkepentingan PETRONAS, Khairuddin Mohd Jaafar, Pengurus Kanan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (Aset Sarawak), Hazli Kipli, Ketua Bahagian Tabung Baitulmal Sarawak Limbang, Nadiah Abas serta Pemanca Limbang, Sahat Bagol.-EDISI UKAS