KMKK Diperkasa, Seminar Kepimpinan Sokong Penyampaian Dasar Kerajaan
MUKAH: Seminar Transformasi Kepimpinan dan Pemerkasaan Tadbir Urus Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Tatau bagi kawasan N60 Kakus menjadi platform penting dalam memperkukuh peranan kepimpinan akar umbi bagi memastikan penyampaian dasar dan pembangunan kerajaan lebih berkesan.
Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong berkata, program tersebut memperkasa KMKK sebagai penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat.
Menurut beliau, elemen integriti, komitmen serta kepimpinan berkesan perlu diperkukuh agar setiap dasar dan program pembangunan dapat dilaksanakan secara sistematik dan berimpak.
“Melalui seminar ini, kita berharap dapat melahirkan barisan pemimpin komuniti yang lebih proaktif, berwibawa dan mampu menangani cabaran semasa di peringkat lokaliti masing-masing,” katanya.
Seramai 180 KMKK menyertai seminar selama tiga hari di Kingwood Resort, Mukah bermula 16 Mac lalu dengan fokus kepada pengukuhan kepimpinan, tadbir urus dan pengurusan komuniti.
Sepanjang seminar, peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian termasuk tadbir urus dan integriti KMKK, protokol rasmi, penyediaan minit mesyuarat dan kertas kerja, serta peranan KMKK dalam Mahkamah Bumiputera.
Turut dibincangkan aspek pengurusan bencana, keselamatan komuniti, pencegahan jenayah serta pemahaman adat seperti Berumah, Atur Rumah dan Ngintu Rumah.
Seminar tersebut dijadual melabuhkan tirai pada 18 Mac dengan majlis penangguhan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai.-EDISI UKAS