Safari Ramadan JAIS Santuni 97 Asnaf dan Pelajar di Niah
MIRI: Program Safari Ramadan anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) terus menyantuni golongan memerlukan apabila seramai 97 penerima terdiri daripada pelajar dan asnaf menerima sumbangan di Masjid Darul Ibadah, Kampung Kuala Lajong, Niah.
Pengarah JAIS merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak (MIS), Ustaz Mual Suaud berkata, program tersebut bukan sahaja bertujuan menyalurkan bantuan, malah mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah.
“Melalui Safari Ramadan ini, kita bukan sahaja menyalurkan bantuan kepada asnaf dan pelajar, tetapi turut memperkukuh hubungan antara agensi agama dengan komuniti setempat di seluruh Sarawak,” katanya dalam program tersebut baru-baru ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 67 pelajar menerima sumbangan wang tunai dan kelengkapan sekolah, manakala 30 penerima asnaf menerima bantuan termasuk bakul makanan.
Beliau turut menyampaikan Dana Pengimarahan Masjid berjumlah RM3,000 bagi menyokong aktiviti keagamaan dan pengurusan masjid.
Program tersebut turut diisi dengan tazkirah Ramadan serta majlis berbuka puasa dan solat berjemaah yang disertai kira-kira 100 jemaah.
Program Safari Ramadan JAIS dilaksanakan di seluruh Sarawak sebagai usaha memperluas manfaat kepada masyarakat Islam di negeri ini.-EDISI UKAS