Majlis Tahlil Perdana Eratkan Ukhuwah Komuniti Di Kampung Hulu
SRI AMAN: Program Tahlil Perdana bukan sahaja bertujuan mengimarahkan surau melalui amalan kerohanian, malah menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk Kampung Hulu di sini.
Hadir menyempurnakan program berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor yang turut bersama-sama masyarakat setempat menyertai bacaan surah Yasin dan tahlil.
Dalam majlis itu juga, Dayang Noorazah turut menyampaikan peruntukan berjumlah RM5,000 kepada Surau Hayatul Islam sebagai sokongan terhadap aktiviti keagamaan serta pembangunan institusi surau di kawasan tersebut.
Selain itu, majlis turut diselitkan dengan tahlil khas bagi mendoakan Allahyarham ayahanda dan anakanda kepada seorang mangsa kebakaran di kawasan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) iaitu Siti Mahfuzah.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap musibah yang menimpa keluarga tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan tunai kepada Siti Mahfuzah sekeluarga bagi membantu meringankan beban mereka selepas kejadian kebakaran yang berlaku.
Program kemudiannya diteruskan dengan majlis berbuka puasa bersama, solat Maghrib berjemaah serta jamuan makan yang menghimpunkan masyarakat dalam suasana penuh muhibah.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat terus memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam komuniti selain memupuk amalan keagamaan serta budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat setempat. -EDISI UKAS