Sekolah Menengah Baharu Dirancang Di Pantu, Sokong Keperluan Pendidikan Pelajar
PANTU: Sebuah sekolah menengah baharu dicadangkan untuk dibina di Daerah Pantu bagi menampung keperluan pendidikan pelajar di kawasan berkenaan pada masa hadapan.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata, cadangan pembinaan sekolah tersebut telah dibangkitkan olehnya semasa persidangan Parlimen dan kini berada dalam perancangan pihak berkaitan.
Menurut beliau, perkara itu turut dibincangkan bersama Pejabat Daerah Pantu serta ketua-ketua masyarakat setempat dalam satu mesyuarat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Pantu baru-baru ini.
“Walaupun pembinaannya mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, namun perancangan tersebut telah dibuat dan usaha ke arah merealisasikannya akan terus diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pantu Tahun 2026, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti merupakan faktor penting dalam memastikan kejayaan sistem pendidikan, khususnya di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, sokongan berterusan daripada ibu bapa melalui platform PIBG mampu membantu pihak sekolah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pencapaian akademik murid selain membentuk sahsiah yang seimbang dan berdaya saing.
“PIBG memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung antara pihak sekolah dan ibu bapa. Melalui kerjasama yang erat, kita dapat memastikan setiap murid mendapat sokongan terbaik untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan,” ujarnya.
Pada majlis yang sama, beliau turut mengumumkan sumbangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Tabung PIBG SK Pantu bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program pendidikan serta pembangunan murid di sekolah berkenaan. -EDISI UKAS