SADONG JAYA: Program Sejambak Kasih Tahun 2026 terus membawa sinar kegembiraan kepada golongan memerlukan apabila seramai 2,321 penerima bantuan bulanan di Bahagian Samarahan menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM232,100 bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Program yang berlangsung di Panggung Udara Pekan Warisan, Sadong Jaya pada Jumaat itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir. Aidel Lariwoo.
Inisiatif tahunan tersebut bertujuan menyantuni golongan sasar di Bahagian Samarahan sekali gus meringankan beban kewangan mereka dalam menyediakan keperluan menjelang sambutan Aidilfitri.
Pada majlis berkenaan, seramai 100 penerima diraikan secara bersemuka melalui penyampaian sumbangan wang tunai RM100 serta hamper barangan keperluan bernilai RM80.
Bagi memastikan semua penerima mendapat manfaat sewajarnya, pihak JKMS turut mengambil langkah proaktif dengan menyalurkan sumbangan wang tunai secara terus ke akaun bank penerima yang tidak dapat hadir.
Selain penyampaian sumbangan, majlis tersebut turut dimeriahkan dengan aktiviti pengagihan bubur lambuk serta penyampaian cenderahati kepada penduduk setempat.
Program berkenaan turut diisi dengan sesi Tazkirah Santai Ramadan sebelum para jemputan dan penduduk setempat berbuka puasa bersama-sama dalam suasana penuh kemesraan dan ukhuwah.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Strategik, Muhammad Zakeria Hatar, Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang, Pegawai Jabatan Kebajikan Bahagian Kota Samarahan, Pengiran Mohamad Najib Pengiran Mohamad, Temenggong Melayu Bahagian Kota Samarahan, Chek Bujang serta Pegawai Tadbir Sarawak Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sham.-EDISI UKAS