Semangat ‘Potluck’ Ceria Majlis Berbuka Puasa Kampung Tambirat Lot
ASAJAYA: Suasana penuh kemesraan dan semangat kekeluargaan jelas terasa apabila penduduk Kampung Tambirat Lot berkumpul bagi menjayakan Majlis Berbuka Puasa komuniti yang berlangsung di Arena Pickleball Tambirat Lot, pada petang Jumaat tadi.
Walaupun dianjurkan secara sederhana, majlis tersebut berjaya menghimpunkan penduduk pelbagai peringkat usia yang hadir bersama ahli keluarga masing-masing, sekali gus mencerminkan eratnya hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
Menariknya, majlis berkenaan mengetengahkan konsep ‘potluck’, di mana setiap keluarga membawa juadah dari rumah untuk dikongsi bersama, di samping hidangan utama yang disediakan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tambirat Lot.
Kaedah tersebut bukan sahaja memeriahkan suasana berbuka puasa, malah memperlihatkan semangat gotong-royong serta keikhlasan penduduk dalam berkongsi rezeki sesama mereka.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Kampung Kampung Tambirat Lot, Zamzari Suut yang menzahirkan penghargaan kepada penduduk yang hadir dan bersama-sama menjayakan program berkenaan.
Menurut beliau, penganjuran majlis seperti ini bukan sekadar untuk berbuka puasa bersama, tetapi menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan persaudaraan serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk kampung.
Selain menjadi ruang penduduk saling beramah mesra, majlis turut diisi dengan tazkirah Ramadan yang memberi pengisian rohani kepada para hadirin sementara menantikan waktu berbuka.-EDISI UKAS