KOTA SAMARAHAN: Suasana Surau Darul Iman Taman Samarindah dipenuhi jemaah apabila penduduk setempat bersama pemimpin komuniti berkumpul menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah sempena Program Jelajah Ramadan Berambeh Tarawih Zon Stakan, pada Jumaat malam.
Kehadiran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang turut menyerikan program tersebut sekali gus mencerminkan hubungan rapat antara kepimpinan dan masyarakat setempat dalam mengimarahkan bulan Ramadan.
Menurut beliau, penganjuran program berambeh Tarawih seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk memperbanyakkan ibadah secara berjemaah, malah menjadi platform penting dalam memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan komuniti.
“Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan amat sesuai untuk kita memperkukuhkan hubungan silaturahim sesama masyarakat melalui aktiviti keagamaan serta kebajikan.
“Program seperti ini juga membuka ruang kepada pemimpin untuk turun padang, beramah mesra serta mendengar sendiri pandangan dan keperluan penduduk setempat,” katanya.
Dalam program tersebut, Datuk Rubiah turut menunaikan solat sunat Tarawih bersama para jemaah sebelum meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk yang hadir.
Beliau turut berkongsi rezeki sempena Ramadan sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat yang sentiasa memberi sokongan terhadap pelbagai inisiatif kemasyarakatan di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS