SIBU: Majlis berbuka puasa bersama dilihat sebagai platform penting dalam mengeratkan perpaduan serta memupuk semangat muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau berkata, penganjuran program seumpama itu memberi peluang kepada masyarakat untuk duduk bersama, berinteraksi dan seterusnya memperkukuhkan hubungan komuniti dalam suasana harmoni.
“Melalui majlis seperti ini kita dapat duduk bersama, berbuka puasa bersama dan pada masa yang sama terus memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Ramadan 2026 anjuran SUPP Cawangan Bawang Assan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Parah di Surau Husnul Khatimah, Kampung Selalo di sini pada Jumaat.
Majlis tersebut dihadiri kira-kira 100 penduduk setempat bersama pemimpin komuniti yang sama-sama berbuka puasa dalam suasana penuh muhibah.
Menurut Kelvin lagi, Ramadan bukan sahaja merupakan bulan untuk menunaikan ibadah puasa, malah menjadi masa terbaik untuk memupuk kesabaran serta meningkatkan keprihatinan terhadap sesama insan.
Tambahnya lagi, bulan yang mulia itu turut membuka ruang kepada masyarakat untuk berkongsi rezeki serta memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam komuniti.
Pada majlis berkenaan, Kelvin turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak serta para hadirin.
Turut hadir ialah Pengerusi JKKK Sungai Parah, Kapitan Ting Siew Kiew.-EDISI UKAS