Usaha Pelbagai Pihak Mengimarahkan Ramadan Disifatkan Inisiatif Terpuji
MUKAH: Usaha pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mengimarahkan bulan Ramadan menerusi pelaksanaan program kebajikan dan kemasyarakatan disifatkan sebagai satu inisiatif terpuji yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, penglibatan pelbagai pihak dalam membantu golongan memerlukan bukan sahaja meringankan beban mereka, malah mencerminkan semangat kebersamaan dalam menghayati bulan Ramadan.
"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutamanya dalam membantu meringankan beban mereka yang memerlukan dalam bulan Ramadan ini.
"Ini merupakan usaha terpuji yang mencerminkan komitmen semua pihak memastikan Ramadan bukan sekadar diisi dengan ibadah, malah turut memberi manfaat kepada komuniti.," katanya ketika berucap dalam Program Imarah Ramadan Kem Belia Mukah 2026 yang berlangsung di Tone Cafe, pada Jumaat.
Dalam program tersebut, seramai 50 golongan memerlukan telah menerima bakul makanan sebagai sumbangan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED).
Dalam pada itu, Royston turut memaklumkan bahawa Kem Belia Mukah kini menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi seperti flying fox, wall climbing dan kayak yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat, khususnya golongan belia di kawasan tersebut.
Sementara itu, Pengetua Kem Belia Mukah, Satar Smawi berkata, kem berkenaan kini kembali beroperasi seperti biasa selepas beberapa tahun ditutup berikutan pandemik COVID-19 serta kerja-kerja naik taraf yang dijalankan sebelum ini.
"Bagi mereka yang berminat, boleh datang ke Kem Belia Mukah untuk mencuba aktiviti yang disediakan," ujarnya.
Terdahulu, sebanyak 600 pek makanan turut diagihkan kepada orang ramai dalam Program Pengagihan Menu Berbuka Puasa yang diadakan di hadapan Kem Belia Mukah.
Hadir sama, Pegawai Penguasa MYSED Bahagian Mukah Rasidah Rasit dan Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias. -EDISI UKAS