DARO: Seramai 9,404 penduduk di daerah ini yang layak menerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 bakal menikmati manfaat daripada inisiatif kebajikan Kerajaan Sarawak bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, daripada jumlah keseluruhan penerima di daerah Daro, seramai 4,287 orang merupakan penerima kategori isi rumah, 4,019 orang individu bujang, manakala 1,098 orang terdiri daripada golongan warga emas.
Beliau berkata, pelaksanaan SKAS merupakan antara komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, khususnya golongan berpendapatan rendah agar mereka terus dibantu dalam memenuhi keperluan asas kehidupan.
“Kerajaan Sarawak sentiasa mengambil pendekatan proaktif dalam menjaga kebajikan rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif yang dirangka bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran sumbangan tersebut bagi peringkat DUN Daro di Dewan Masyarakat Daro pada Jumaat.
Dr. Safiee turut menjelaskan, SKAS merupakan antara inisiatif kebajikan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak selain beberapa bantuan lain yang telah memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini.
Jelasnya, antara bantuan tersebut termasuk Bantuan Ibu Bersalin (BIB) yang membantu ibu selepas melahirkan anak, Bantuan Warga Emas (BWE) bagi menyokong kebajikan golongan warga emas, serta Program Endowment Fund Sarawak (EFS) yang memberi simpanan awal kepada bayi yang dilahirkan di negeri ini.
Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan Skim Perlindungan Kemalangan Diri Percuma untuk rakyat Sarawak, di samping pelbagai bantuan pendidikan termasuk inisiatif biasiswa dan bantuan pendidikan tinggi bagi memastikan anak-anak Sarawak berpeluang melanjutkan pelajaran tanpa dibebani masalah kewangan.
Tambah beliau lagi, semua inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan negeri ini turut disertai dengan peningkatan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan program tersebut termasuk agensi kerajaan serta pemimpin masyarakat setempat yang sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Daro Zul Usup, wakil Residen Mukah Mohammad Madzihi Mohd Musa, Ketua Polis Daerah (KPD) Matu Daro DSP Rahim Mihos, serta Pemanca Lau Oi Phen.-EDISI UKAS