KANOWIT: Ketua masyarakat disaran sentiasa peka terhadap kebajikan serta kesejahteraan penduduk di bawah jagaan masing-masing bagi memastikan setiap isu dalam komuniti dapat ditangani dengan berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, semangat kerjasama dalam kalangan ketua masyarakat amat penting agar setiap perkara melibatkan penduduk dapat diselesaikan secara bersama demi kesejahteraan komuniti setempat.
Menurut beliau, masyarakat Cina di kawasan Ngemah mempunyai dua penghulu dan 11 kapitan, manakala secara keseluruhan terdapat kira-kira 270 Kapitan dan Tuai Rumah yang berkhidmat di kawasan tersebut.
“Sekiranya ada dalam kalangan masyarakat yang kurang memahami sesuatu perkara, maka menjadi tanggungjawab kita sebagai ketua masyarakat untuk membimbing serta membantu mereka,” katanya ketika Majlis Jamuan Makan Tengah Hari dan Sesi Dialog Bersama Persatuan KMKK Cina Ngemah di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan kapitan yang masih mempunyai permohonan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) agar mengemukakan cadangan melalui pusat khidmatnya dalam tempoh seminggu.
Anyi turut memaklumkan bahawa sebelum ini beliau telah menyalurkan peruntukan RM50,000 kepada Jawatankuasa Kebajikan Komuniti Cina DUN Ngemah bagi membaiki enam buah rumah yang rosak teruk, dan jumlah sama akan diperuntukkan sekali lagi pada tahun ini bagi meneruskan usaha membantu masyarakat memerlukan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Kanowit, Cerisologo Sabut.-EDISI UKAS