Balai Raya Kampung Danau Keranggas Siap Dibaik Pulih
BALAI RINGIN: Penduduk Kampung Danau Keranggas, Melikin kini boleh menikmati kemudahan balai raya yang lebih selesa selepas projek baik pulih kemudahan tersebut siap sepenuhnya baru-baru ini.
Projek baik pulih balai raya itu melibatkan peruntukan sebanyak RM200,000 yang diluluskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Donald Lawan bagi memastikan kemudahan komuniti di kawasan tersebut berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Kemudahan balai raya tersebut merupakan antara lokasi utama bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk perhimpunan penduduk, program pembangunan kampung serta penganjuran aktiviti sosial dan kebudayaan.
Seorang wakil penduduk kampung, Luang Penguang berkata masyarakat setempat amat menghargai kelulusan projek baik pulih balai raya tersebut yang memberi manfaat besar kepada penduduk Kampung Danau Keranggas.
Menurutnya, penduduk kampung merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Snowdan atas kelulusan projek baik pulih Balai Raya Kampung Danau Keranggas yang melibatkan peruntukan sebanyak RM200,000.
Dengan siapnya projek baik pulih ini, kemudahan balai raya berkenaan dijangka terus menjadi pusat aktiviti komuniti sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.-EDISI UKAS