750 Pek Bubur Lambuk Meriahkan Program Nguar PPD Sri Aman
SIMANGGANG: Sebanyak 750 pek bubur lambuk berjaya disediakan dan diagihkan kepada masyarakat setempat menerusi Program Nguar dan Agihan Bubur Lambuk yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman melalui Biro Pendidikan Islam dengan kerjasama Bank Rakyat Cawangan Sri Aman.
Program yang berlangsung di Pusat Kegiatan Guru (PKG) PPD Sri Aman itu dimulakan seawal jam 9.30 pagi dengan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk yang diketuai oleh Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin bersama warga PPD Sri Aman serta kakitangan Bank Rakyat.
Selepas proses memasak selesai, semua yang terlibat berganding bahu membungkus bubur lambuk sebelum ia diagihkan kepada orang ramai di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Aing pada jam 3 petang.
Menurut Abdul Rahman, penganjuran program tersebut bukan sahaja bertujuan menghidupkan tradisi memasak bubur lambuk pada bulan Ramadan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga pendidikan dan masyarakat setempat.
“Program Nguar dan Agihan Bubur Lambuk ini bukan sahaja dapat menghidupkan tradisi memasak bubur lambuk, malah membantu memperkukuh ukhuwah antara warga pendidikan dengan masyarakat di Sri Aman,” katanya semasa ditemui, pada Jumaat.
Beliau menambah bahawa bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan program seumpama itu memberi peluang kepada semua pihak untuk berkongsi rezeki di samping menyemai nilai kebersamaan serta kasih sayang dalam kalangan masyarakat.
Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Bank Rakyat Cawangan Sri Aman atas komitmen berterusan dalam menyokong pelbagai inisiatif komuniti di kawasan berkenaan.
“Diharapkan kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial, kerana setiap sumbangan walaupun kecil mampu membawa kegembiraan besar kepada masyarakat,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa program tersebut mencerminkan keakraban antara warga PPD Sri Aman dan rakan kolaborasi dalam menjayakan usaha kebajikan selaras dengan semangat Ramadan yang penuh keberkatan. -EDISI UKAS