Safari Ramadan PPD Sri Aman Semarak Aktiviti Kerohanian
SIMANGGANG: Program Safari Ramadan 2026 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit berjaya menyemarakkan penghayatan Ramadan menerusi pelbagai pengisian kerohanian serta aktiviti kebajikan bersama komuniti setempat.
Menurut satu kenyataan media pada Jumaat, program yang bermula pada jam 6 petang itu bertujuan memperkukuh hubungan antara warga pendidikan, masyarakat setempat dan agensi luar di samping mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti keagamaan.
Jelasnya, Program Safari Ramadan tersebut turut dilaksanakan di beberapa sekolah lain dalam kawasan Daerah Sri Aman dan Lingga termasuk SK Abang Aing serta SK Lela Pahlawan.
Program Safari Ramadan di SK Kem Pakit dimulakan dengan upacara perasmian Laman Hadith 40 Imam Nawawi yang disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pendidikan PPD Sri Aman, Ustaz Syaifullah Ismail.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar SK Kem Pakit, Faizal Osman sebelum para hadirin mengikuti sesi tazkirah Ramadan sebagai pengisian rohani sepanjang program berkenaan.
Pengisian program seterusnya merangkumi solat Maghrib berjemaah, majlis berbuka puasa, solat Isyak berjemaah, solat Tarawih dan Witir secara berjemaah sebelum diakhiri dengan aktiviti moreh.
Menurut kenyataan yang sama, secara keseluruhannya program berkenaan telah berjalan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan, khususnya dalam memperkukuh ukhuwah antara warga sekolah, masyarakat dan agensi setempat.
Hadir sama, Pegawai Pemerintah Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) Kem Pakit Sri Aman Leftenan Kolonel Mohamad Firdaus Umar. -EDISI UKAS