RM123,000 Disalur Kepada 21 Masjid & Surau di DUN Daro
DARO: Sebanyak RM123,000 disalurkan kepada 21 buah masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan serta persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad semasa Majlis Iftar Jalinan Ukhwah 2026M / 1447H anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro (LAKMD) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid (JKP) Masjid Al-Muhsiniin Daro di Masjid Al-Muhsiniin di sini, pada Jumaat.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu pihak pengurusan masjid dan surau dalam melaksanakan pelbagai program keagamaan serta aktiviti kemasyarakatan bagi mengimarahkan bulan Ramadan di samping membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Dr. Safiee menambah, institusi masjid dan surau memainkan peranan penting sebagai pusat penyatuan ummah serta medium bagi memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.
“Masjid dan surau bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, malah menjadi pusat kegiatan masyarakat yang mampu memperkukuhkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Sementara itu, Dr. Safiee berkata, program berbuka puasa sedemikian juga menjadi platform penting bagi merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat di samping memupuk nilai perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang latar belakang.
Majlis tersebut turut dihadiri Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Jurutera Daerah JKR Daro Faizol Hasim, wakil Ketua Polis Daerah (KPD) Matu Daro, Inspektor Daneil Paulus, wakil Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Daro Ismail Majelis, serta Pemanca Lau Oi Phen.-EDISI UKAS