Majlis Nuzul Al-Quran & Iftar Semarak Ramadan di Masjid Darul Taqwa Balingian
BALINGIAN: Majlis Nuzul Al-Quran dan Iftar Semarak Ramadan yang diadakan di Masjid Darul Taqwa Balingian pada Jumaat mengimarahkan bulan Ramadan serta menyemarakkan penghayatan terhadap kitab suci Al-Quran dalam kalangan masyarakat setempat.
Program tersebut dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Masjid Darul Taqwa Balingian, Persatuan Generasi Melanau Balingian, PERKIM Balingian serta Urus Setia Saudara Kita (USK) Cawangan Balingian.
Pengerusi Jawatankuasa Masjid Darul Taqwa Balingian, Ismail Shawal berkata, penganjuran majlis tersebut bertujuan memperingati peristiwa turunnya ayat pertama Al-Quran sebagai panduan hidup umat Islam, di samping memupuk kecintaan terhadap kitab suci itu serta menghayati keberkatan Ramadan.
“Program ini juga bertujuan meningkatkan amalan ibadah, memperkukuh silaturahim melalui majlis iftar (berbuka puasa) bersama, serta menyemarakkan syiar Islam dalam komuniti,” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 40 bakul makanan turut diagihkan kepada golongan asnaf sebagai usaha membantu mereka yang memerlukan.
Selain itu, pegawai masjid serta 22 peserta khatam Al-Quran yang telah menamatkan bacaan sepanjang Ramadan tahun ini turut menerima sumbangan.
Majlis turut diserikan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh wakil Pegawai Agama Islam Bahagian Mukah, Norazman Abdullah sebagai pengisian rohani kepada para hadirin.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pegawai Daerah Kecil Balingian Nolin Gendang, Yang Dipertua Persatuan Generasi Melanau Balingian Hafizzul Abdul Halim serta Penghulu Harbi Bakir bersama komuniti setempat.-EDISI UKAS