SARATOK: Sebanyak 250 pek bubur lambuk diagihkan kepada masyarakat setempat dalam Program Penyerahan Bubur Lambuk anjuran PEMADAM Daerah Saratok yang digabungkan dengan Majlis Berbuka Puasa Pejabat Daerah Saratok di Dewan Pejabat Daerah Saratok, pada Jumaat.
Daripada jumlah tersebut, 100 pek diserahkan kepada pihak masjid manakala 150 pek lagi diagihkan kepada warga jabatan serta masyarakat sekitar bagi menyemarakkan suasana Ramadan.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri yang turut mengambil kesempatan berkongsi perkembangan beberapa projek pembangunan di kawasan Saratok.
Menurut beliau, pembinaan projek Waterfront Saratok kini dalam perancangan dan pihaknya sedang mengenal pasti lokasi sementara yang sesuai bagi menempatkan para penjaja sepanjang tempoh pelaksanaan projek tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan Anjung Rehat Kalaka turut sedang diusahakan bagi menyediakan kemudahan kepada penduduk setempat untuk berehat serta menjalankan aktiviti komuniti.
“Walaupun sebahagian peruntukan digunakan untuk projek Waterfront Saratok, usaha membantu penduduk luar bandar tetap diteruskan termasuk penyediaan kemudahan seperti ban dan pintu air bagi kawasan tanaman serta pembinaan jalan pertanian di kawasan Metong,” katanya.
Beliau menegaskan pembangunan infrastruktur merupakan antara faktor penting dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat, khususnya bagi mereka yang terlibat dalam sektor pertanian.
Pada masa sama, beliau turut memuji usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah Saratok dalam membanteras kegiatan jenayah, termasuk tangkapan melibatkan kes dadah dan judi dalam talian di daerah tersebut.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Jambatan Krian Kabak dijangka dibuka secara rasmi pada 18 Mac ini, sekali gus bakal meningkatkan kemudahan perhubungan dan mobiliti penduduk di kawasan berkenaan.
Turut hadir Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid; Penolong Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Debak, Mohd Khairurani Mohd Ibrahim; wakil Pegawai Daerah Pusa, Anthony Peter Mike; serta wakil Pegawai Daerah Kabong, Ahmad Sabree Salleh. —EDISI UKAS