Masyarakat Diseru Suburkan Nilai Kasih Sayang Sepanjang Ramadan
KUCHING: Masyarakat diseru agar terus memupuk nilai kasih sayang serta semangat saling membantu dalam kehidupan bermasyarakat, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, amalan berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya mendidik hati supaya lebih bertakwa kepada Allah serta melahirkan insan yang prihatin terhadap kebajikan orang lain.
“Puasa mendidik hati kita supaya menjadi lebih baik dan sentiasa mengingati antara satu sama lain. Dalam Islam juga disebut bahawa tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.
“Apabila kita mempunyai kemampuan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan, itulah salah satu cara menzahirkan kasih sayang serta memperkukuhkan hubungan sesama masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sumbangsih Santunan Kasih Seindah Syawal di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang di sini, pada Sabtu.
Dalam program tersebut, seramai 150 penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang menerima bantuan kewangan dan bakul kuih raya sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
Program tahunan anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Samariang itu bertujuan menyantuni golongan memerlukan selain membantu meringankan beban perbelanjaan persiapan Syawal.
Dalam pada itu, Datuk Amar Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berharap program seumpama itu dapat terus menyemai semangat keprihatinan, kebajikan serta kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat selain memperkukuh perpaduan komuniti.
Turut hadir semasa majlis berkenaan ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Dato Georgina Apphia Ngau. -EDISI UKAS