Kerajaan Sarawak Komited Bangunkan Luar Bandar Melalui Pelbagai Inisiatif
TATAU: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh pembangunan luar bandar menerusi pelbagai inisiatif ekonomi dan projek kemudahan rakyat.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai berkata, hasil pendapatan negeri Sarawak telah menunjukkan peningkatan ketara daripada sekitar RM6 bilion kepada kira-kira RM13 bilion setahun pada tahun lalu sejak kepimpinan diterajui oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg
"Peningkatan hasil negeri ini membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan inisiatif bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Rh. Serai Anak Blachan, Sungai Sepalau, Muput, Tatau pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dato Sri John turut menegaskan, sektor pertanian khususnya penanaman kelapa sawit, mempunyai potensi besar untuk meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar, dengan ramai penduduk telah berjaya menjana pendapatan yang baik melalui aktiviti tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus itu memberitahu, bantuan penanaman kelapa sawit akan diperkenalkan melalui Mid Rajang Regional Development Agency (MiRRDA) bagi membantu petani di kawasan Parlimen Selangau dan Kanowit yang berada di bawah agensi berkenaan.
"Selain itu, bantuan melalui skim penanaman kopi serta projek ternakan khinzir dan ayam juga akan diperkenalkan bagi menambah peluang ekonomi kepada penduduk setempat," jelas beliau.
Pada majlis tersebut, Dato Sri John Sikie Tayai mengumumkan peruntukan geran sebanyak RM37,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rh. Serai serta RM8,000 kepada Biro Wanita Rh. Serai bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan pembangunan komuniti rumah panjang berkenaan. -EDISI UKAS